tiNta sRikaNdi

"ya Allah , aku memohon cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintaMu. ya Allah jadikanlah cintaMu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku, dan daripada air yang sejuk ( ketika panas terik)" [riwayat tirmizi]

Wednesday 17 April 2013

tanGisan hamba


Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ironi, ianya dapat mendamaikan sekeping hati yang rawan.
Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya dapat menenangkan hati yang terluka. 
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh ironi, kerana  ianya mampu melegakan gelojak jiwa.
Namun, disebalik semua ironi ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?
Percayakah jika ku katakan hati itu adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.
Mungkin hati itu tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan parut di hati.
"Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman Allah;
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala mencari ruang untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar tiap kedukaan yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap hikmah yang tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.
Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan saat orang ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju. Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bisa ternampak oleh rakan-rakan.
Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.

Tangisan itu hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat.
Lalu dia bertanya padaku, "Untuk apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan " Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau menangis?". Jawabnya, " Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku menangis".
Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah tangisku? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai. Pernah ku terbaca sebuah hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, " Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka. 
Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.
Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.

Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi. Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.
Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.
Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan lah ia dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah ia dan persembahkanlah hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan Rahmat Ilahi dan cinta baginda, Muhammad SAW.

Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama besarnya seperti darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri setiap ujian yang menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi lembut. Hanya dengan ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya dengan ujian hati ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.
"Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Mu"

Sunday 14 April 2013

hijrah hati

Duhai hati.
Apa yang kau cari.
Isimu banyak terluka.
Kisahmu penuh sengketa.
Cukuplah dengan dusta.
Tidak perlu kau menadah.
Untuk jiwa yang tak pernah kisah.
Untuk arjuna yang hanya singgah.
Lupakan dia.
Janjimu jangan kau lupa.
Untuk dia yang tak diketahui siapa.
Duhai hati.
Relakan dirimu dengan takdirNYA.
Tadbirkan hidupmu dengan jalanNYA.
Ikhlaskan jiwamu dengan dugaanNYA.
Yakinlah pasti kau temui bahagia.
Yang hilangkan semua air mata.
Yang leraikan semua kecewa.
Kepada ALLAH hati dituju.
RahmatNYA masih jauh untuk bertemu.
Tapi berusahalah dekatkanNYA denganmu.
Terlalu jauh langkah ini berlalu.
Tapi ketenangan masih dirindu.
Dosa tetap berlingkar padu.
Oh hinanya sendu.
Sendu yang bukan selayaknya perlu!

Ya ALLAH.
Ampunkan hati yang hina.
Ingatkan semua yang alpa.
Hijrah mencari redha.
Hanya itu yang didamba.
Ya ALLAH.
Hati yang banyak cela.
Hijab yang belum sempurna.
Kata yang penuh nista.
Jiwa yang diulit dosa.
Mengenang kasih yang tak sudah.
Mengenang cinta yang tak endah.
Namun Ya ALLAH.
Berapa lama pun hati itu menjauh.
Betapa banyak pun dosa yang dipalu.
Jangan KAU paling hati itu.
Jangan biarkan ia jemu.
Untuk terus meminta restu.
Untuk terus berhijrah ke situ.
Dalam rahmat waktu ini.
Yang masih KAU pinjamkan lagi.
Semoga masih ada sinar menanti.
Cahaya yang takkan padam lagi.
Untuk menyinari hati yang masih sendiri.
Lembaran baru akan dibuka.
Pastinya ada suka dan duka.
Namun tabah tetap dipinta.
DariMU yang tidak pernah lupa.
Sentiasa ada di sisi jua.
Ya Rahman Ya Rahim.
Kesyukuran dipanjatkan setulusnya.
Keredhaan dicari sesungguhnya.
Keikhlasan dipahat semahunya.
Berkati hati itu Ya ALLAH.
Moga ada sinar di hujung sana.
Setiap detik adalah hijrah.

sEtiAp saAt aDalaH pEluAng

"Masa itu adalah emas". Perumpamaan yang sudah lama kita dengar, dan tentu sekali kita sudah pun tahu apakah maksudnya bukan? Masa sentiasa bergerak ke hadapan. Berjalan dan terus berjalan.
Tanpa berpatah balik, dan mustahil bagi masa untuk menunggu kita. Sejak kita dikandungkan dalam perut ibu, kemudian dilahirkan ke dunia, melalui fasa fasa zaman yang berbeza. Zaman bayi, zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan mungkin nanti, InsyaAllah, zaman usia emas. Warga emas. Berpeluangkah kita untuk melalui setiap fasa zaman itu? Dan di fasa manakah kita berada ketika ini?
Cuba kita hitung umur kita pula. Mungkin ada yang baru berusia belasan tahun, mungkin ada juga yang baru ingin mencecah puluhan tahun, dan mungkin ada juga yang telah pun masuk ke alam puluhan.  Masing masing mungkin berada di fasa usia yang berbeza, tetapi hakikatnya, kita punya satu tujuan hidup yang sama. Cuma mungkin, berlainan cara pemikiran bergantung kepada tahap usia seseorang.
Selepas umur dihitung, cuba kita hitung semula masa yang ada. Berapa banyak masa yang telah kita habiskan. Dan dengan cara apa kita habiskan masa itu? Ya Allah, sungguh ternyata, masa itu tidak akan mampu untuk kita hitung. Apatah lagi untuk menghitung segala pengisian setiap saat tersebut. Tidak tergambar betapa banyaknya masa yang telah kita gunakan. Guna untuk itu, guna untuk ini. Gunakan untuk dia dan dia, mahupun mereka. Dan juga gunakan untuk diri sendiri.
Ketika ini, ambil sedikit masa. Lihatlah diri dalam cermin. Renung secara dalam. Cuba cari kesimpulan, secara keseluruhan, masa itu kita guna untuk apa? Ternyata, sekali lagi kita hanya mampu terdiam.
Kita renung juga Firman Allah S.W.T dalam surah Al- Asr,
"Demi Masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. "
(Surah Al Asr)
Benar. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh. Ya Allah. Betapa diri ini berada dalam kerugian. Bukan untuk mengata ataupun menunding jari kepada sesiapa, tetapi sekadar untuk berkongsi luahan. Dan menunding jari ke arah diri sendiri. Ya. Jari ditunjuk kea rah sendiri. Betapa diri ini berada dalam kerugian.
"Setiap saat adalah peluang". Kata- kata yang tiba-tiba sahaja tertulis bila terfikir. Benar bukan? Setiap saat yang diberi untuk kita, sebenarnya, ia adalah peluang. Tetapi peluang untuk apa? Subjektif jawapan nya. Peluang untuk melakukan itu dan ini, tetapi apakah yang dilakukan terletak dan terpulang kepada individu itu sendiri. Kita semua sudah diberi akal fikiran. Kita tahu menilai baik dan buruk. Tahu menilai baik dan buruk? Tetapi kenapa sesuatu yang buruk itu masih juga kita lakukan?

Ya Allah. Diri aku juga. Aku juga tidak terkecuali dari melakukan sesuatu yang buruk itu. Kamu, anda, ataupun sesiapa saja, ya benar. Tiada manusia yang bersifat sempurna. Tetap ada sesuatu yang buruk itu yang kita lakukan. Sama ada secara sedar atau tidak, hakikatnya ia tetap ada.
Sahabat ku, kalian semua, mari kita  fikirkan semula. Kenapa kita masih hidup sampai hari ini? Kerana Allah mahu kita kembali padaNya. Mahu kita untuk dekat denganNya. Dan DIA memberikan kita setiap saat itu, setiap peluang itu sebagai ruang untuk kita kukuhkan cinta padaNya, menyesali segala dosa, dan melangkah untuk berjalan menuju ke syurgaNya.
Ya. Mustahil untuk manusia bersifat sempurna, tetapi tidak mustahil untuk mencuba dan berubah. Renungkan kembali, atas sebab apa kita dihidupkan. Kenapa kita diberi nyawa?
Hanya satu sebabnya. Sebagai hamba Allah S.W.T.  Dan setiap saat yang menjadi peluang untuk kita, adalah peluang untuk kita mencari seberapa banyak "tiket" untuk menetap di penempatan yang kekal selamanya. Sama ada syurga, ataupun neraka. Kita sendiri yang membuat pilihan, melalui transit kehidupan yang bergelar kehidupan dunia.
Terasa teruk dan kecil diri. Bila terfikirkan soal saat-saat yang telah digunakan tanpa hala tanpa tujuan. Malah, diguna pula dengan dosa. Ya Allah. Sungguh tidak terhitung dosaku, tidak terkira berat dan busuk yang ku pikul. Tentu sekali, jika kita boleh undurkan masa, ternyata sesuatu yang buruk itu kita ingin buang, dan gantikan dengan sesuatu yang baik. Sesuatu yang busuk itu ingin kita wangikan semula. Tapi, realiti tidak begitu. Inilah hidup. Inilah kehidupan. Setiap saat yang berlalu tidak akan boleh kita gantikan dengan apa-apa. Hanya sekadar penyesalan untuk sesuatu yang kita sudah lakukan, dan hanya doa taubat serta keampunan dariNya yang kita harapkan.
Congak semula perjalanan hidup. Naik turun hidup. Setiap kesenangan mahupun kesedihan, kedua duanya adalah dugaan dariNya. Ya Benar. Bila kita berada di puncak kesenangan, cenderung untuk kita mula berasa bongkak, dan riak. Teruja. Dan akhirnya kalah dengan nafsu membangga. Lalu lupalah kita pada DIA. Kita lupa, kesenangan itu datang dariNya. Kita lupa kejayaan itu datang dariNya. Dan, bila mana kita dilanda kesedihan dan kejatuhan, hati kita sibuk menyalahkan itu,jiwa kita bising salahkan ini. Sedarkah kita apa yang kita salahkan? Takdir Allah. Ya Allah, sungguh hina hambamu, sehingga takdir dariMu dipersalahkan. Dan terus, kita lupa, dari mana sedih itu datang.
Ternyata, kita pernah terlupa semua itu, bukan?
Sekali lagi, "Setiap saat adalah peluang"
Fikirkan lagi tentang ini. Peluang ini. Masih terbuka luas peluang untuk kita cuba mengubah keadaan. Setiap sesuatu perlukan usaha. Ya. Usaha. Kemudian doa. Dan tawakal. Sesuatu perubahan itu tidak akan terjadi jika kita hanya berdoa dan menunggu. Perlu ada langkah yang mencuba. Mencuba untuk bergerak ke arah sesuatu yang baru, dan sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah. Allah akan membantu kita.
Jangan hilang keyakinan dalam hidup. jangan hilang keyakinan terhadap takdir dan ketentuan Allah. Ambil setiap peluang itu. Ambil. Dan jangan hanya terduduk, mengalah pada manusia. Jangan hanya terdiam, takut pada yang tak sepatutnya. Dan jangan hanya bisu, tunduk pada cinta.

Mungkin, cukuplah sampai disini. Tak perlu rasanya nak berkata panjang. Bercelotah banyak-banyak. Sekadar ingin meluahkan sesuatu, yang ingin dijadikan penegesan kepada semua. Kita semua bersaudara. Dan sudah tentu, hanya yang terbaik yang di inginkan untuk semua.
InsyaAllah, kalian mampu lalui. dan mampu mengambil peluang itu untuk mengubah sesuatu. Biarpun seburuk mana saat itu pernah digunakan, setiap saat yang baru adalah peluang untuk kita mengubah sesuatu.
Saya sentiasa doakan, walau siapa pun kalian, walau di mana pun lokasi, sama-sama kita mengambil peluang itu.
Lihat diri; muhasabah diri. Sejauh mana kita dah pergi, dan kemana arah tuju kita nanti
.